Panduan Lengkap Syarat Kelulusan PBT Untuk Bina Rumah

Anda sudah ada tanah? Anda sudah ada gambaran pelan rumah yang anda inginkan. Tapi sebelum kerja bina boleh bermula, terdapat satu proses penting yang tidak boleh dilangkau iaitu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ramai pemilik tanah yang tidak menyedari betapa pentingnya memahami syarat PBT dari awal. Akibatnya, pelan rumah yang sudah siap dilukis terpaksa diubah semula, masa terbuang berbulan-bulan, dan kos tambahan terpaksa ditanggung. Artikel ini akan membimbing anda memahami setiap langkah proses kelulusan PBT supaya bina rumah anda berjalan lancar dari hari pertama lagi.

Apakah PBT Dan Mengapa Kelulusannya Wajib?

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah badan kerajaan tempatan yang bertanggungjawab mengawal selia pembangunan dalam kawasan bidang kuasanya. Di Malaysia, PBT terdiri daripada Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Masa kelulusan lazim

3–6 bulan

Masa kelulusan lazim

Jenis kelulusan utama

2 peringkat

KM + BP

Piawaian rujukan

UKBS 1984

+ syarat PBT setempat

Profesional diperlukan

Arkitek / JA

bertauliah & berlesen

Dua Jenis Kelulusan Utama: KM vs BP

Sebelum bina rumah, terdapat dua kelulusan berbeza yang perlu difahami. Ramai yang keliru antara keduanya padahal ia adalah dua proses yang berbeza dengan tujuan yang berbeza.

Kebenaran Merancang (KM)
Apakah KM? Kelulusan daripada Jabatan Perancangan Bandar & Desa (JPBD) atau Jabatan Perancang PBT yang mengesahkan bahawa pembangunan yang dirancang adalah selaras dengan zon guna tanah dan dasar perancangan tempatan.

  • Memastikan rumah dibina di atas tanah yang dizonkan sebagai kediaman
  • Mengesahkan kepadatan pembangunan dan nisbah plot (plot ratio) mematuhi rancangan tempatan
  • Perlu diperolehi sebelum permohonan pelan bangunan (BP) boleh dikemukakan
  • Tempoh kelulusan: 1–3 bulan (bergantung PBT)

Kelulusan Pelan Bangunan (BP’
Apakah BP? Kelulusan teknikal daripada Jabatan Bangunan PBT yang memastikan rekabentuk bangunan adalah selamat secara struktur dan mematuhi piawaian bangunan (UKBS 1984).

  • Semakan saiz bilik, tinggi siling, lebar lorong, bukaan cahaya dan semua dimensi teknikal
  • Semakan pelan struktur, sistem paip, elektrik dan kebakaran
  • Mesti ditandatangani oleh Arkitek Berlesen atau Jurutera Awam Berlesen
  • Tempoh kelulusan: 2–4 bulan selepas KM diperolehi

Aspek

Kebenaran Merancang (KM)

Pelan Bangunan (BP)

Diuruskan oleh

Jabatan Perancang PBT / JPBD

Jabatan Bangunan PBT

Fokus semakan

Zon guna tanah, kepadatan, dasar

Teknikal — struktur, saiz, keselamatan

Urutan

Pertama

Selepas KM diluluskan

Profesional diperlukan

Arkitek / Perancang Bandar

Arkitek Berlesen / Jurutera Awam

Tempoh lazim

1–3 bulan

2–4 bulan

Proses Kelulusan PBT Dari A Hingga Z

Berikut adalah proses lengkap kelulusan PBT untuk bina rumah di Malaysia dari peringkat pra-perancangan hingga permit menduduki (CF/CCC) diperolehi.

01

Semakan awal tapak & zon guna tanah

Sebelum apa-apa, semak status zon tanah anda di portal e-PBT atau hubungi terus PBT. Pastikan tanah dizonkan sebagai kediaman. Jika masih zon pertanian atau komersial, proses pindaan zon (rezoning) diperlukan dahulu — ini boleh mengambil masa 6–24 bulan tambahan.

02

Lantik arkitek berlesen atau jurutera awam

Untuk mengemukakan permohonan kelulusan pelan bangunan kepada PBT, pelan mesti disediakan dan ditandatangani oleh profesional berlesen — sama ada Arkitek Berlesen (LAM) atau Jurutera Awam Berlesen (BEM). Pilih profesional yang berpengalaman dengan PBT di kawasan anda kerana mereka lebih faham syarat tempatan.

03

Lukis & sediakan pelan bangunan lengkap

Arkitek akan menyediakan satu set pelan bangunan lengkap yang merangkumi pelan lantai, pelan pandangan sisi (elevation), pelan keratan (section), pelan lokasi, dan pelan-pelan teknikal lain. Pada peringkat ini, semua dimensi termasuk saiz bilik, lorong dan bukaan mesti mematuhi UKBS 1984 dan syarat PBT setempat.

04

Kemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM)

Permohonan KM dikemukakan kepada Jabatan Perancang PBT bersama dokumen-dokumen yang diperlukan. PBT akan menyemak kesesuaian pembangunan dengan Rancangan Tempatan dan Rancangan Struktur. Jika ada isu, pihak permohonan akan dimaklumkan untuk membuat penambahbaikan.

05

Kemukakan permohonan Pelan Bangunan (BP)

Selepas KM diperolehi, permohonan BP dikemukakan kepada Jabatan Bangunan PBT. Semakan melibatkan jabatan-jabatan berbeza — Jabatan Bomba, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan & Saliran, TNB, syarikat air dan lain-lain. Setiap jabatan akan mengeluarkan ulasan teknikal (technical comments) yang mungkin memerlukan pindaan pelan.

06

Terima kelulusan & mula kerja bina

Setelah BP diluluskan, anda akan menerima Surat Kelulusan Pelan Bangunan. Satu salinan pelan yang diluluskan mesti sentiasa berada di tapak bina semasa kerja pembinaan berlangsung. Pembinaan mesti dimulakan dalam tempoh yang ditetapkan (biasanya 1–2 tahun dari tarikh kelulusan) atau kelulusan akan luput.

07

Pemeriksaan semasa & selepas bina

Semasa pembinaan, pegawai PBT boleh membuat pemeriksaan tapak untuk memastikan kerja bina mematuhi pelan yang diluluskan. Sebarang perubahan daripada pelan yang diluluskan (variation order) mesti mendapat kelulusan semula daripada PBT sebelum dilaksanakan.

08

Perolehi CCC / CF — Sijil Perakuan Siap & Pematuhan

Selepas pembinaan siap, arkitek atau jurutera anda akan mengeluarkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) — mengesahkan bahawa bangunan dibina mengikut pelan yang diluluskan dan selamat untuk diduduki. Tanpa CCC, rumah anda tidak boleh diduduki secara sah dan tidak boleh mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank.

Jadual Saiz Minimum UKBS 1984 Untuk Pelan Rumah Kediaman

Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 menetapkan piawaian minimum untuk semua komponen dalam sesebuah rumah kediaman di Malaysia. Berikut adalah jadual lengkap yang perlu anda tahu sebelum melukis atau meluluskan pelan rumah.

Komponen

Saiz / Piawaian Minimum

Catatan Penting

Kepentingan

Bilik tidur utama

11.0 m² (lebar min. 2.75m)

Diukur dari dalam dinding

Kritikal

Bilik tidur ke-2 / ke-3

6.5 m² setiap satu (lebar min. 2.4m)

Terpakai untuk semua bilik tidur tambahan

Kritikal

Ruang tamu

11.0 m²

Boleh digabung dengan ruang makan

Penting

Dapur

4.5 m² (lebar min. 1.8m)

Dapur basah / wet kitchen boleh berasingan

Penting

Bilik air / tandas

2.7 m² (1.5m × 1.8m)

Bilik air ensuite boleh lebih kecil di sesetengah PBT

Kritikal

Lebar lorong utama

1.05 meter

Laluan ke semua bilik tidur & bilik air

Kritikal

Lebar lorong sekunder

0.9 meter

Laluan ke bilik utiliti atau stor

Penting

Tinggi siling minimum

2.6 meter

Diukur dari aras lantai siap ke bawah rasuk/siling

Kritikal

Bukaan cahaya & pengudaraan

Min. 10% dari keluasan lantai bilik

Setiap bilik mesti ada tingkap atau bukaan luar

Kritikal

Setback hadapan

3m–6m dari sempadan jalan

Berbeza mengikut kelas jalan & PBT

Semak PBT

Setback sisi & belakang

1.5m–3m dari sempadan tanah

Boleh berbeza mengikut zon & saiz lot

Semak PBT

Keluasan lantai keseluruhan (GFA)

Min. 60 m²

Sesetengah PBT menetapkan had lebih tinggi

Semak PBT

Liputan bangunan (site coverage)

Maks. 60% keluasan tanah (lazim)

Selebihnya mestilah kawasan terbuka / parkir

Semak PBT

📌 Jadual di atas adalah piawaian minimum berdasarkan UKBS 1984 yang terpakai secara umum. Setiap PBT boleh menetapkan syarat tambahan atau lebih ketat. Sentiasa sahkan dengan PBT berkenaan di kawasan masing-masing.

Dokumen Yang Diperlukan Untuk Permohonan Kelulusan PBT

Kelengkapan dokumen adalah antara faktor terpenting yang menentukan kelajuan proses kelulusan. Permohonan yang tidak lengkap akan dikembalikan dan ini membuatkan masa menunggu kelulusan menjadi lebih lama.

Dokumen Permohonan Kebenaran Merancang (KM)

Borang permohonan KM
Borang rasmi PBT yang telah dilengkapkan & ditandatangani

Salinan geran tanah
Dokumen hak milik tanah yang telah dicop & disahkan

Pelan akui ukur (certified survey plan)
Disediakan oleh Juruukur Tanah Berlesen

Pelan konsep bangunan
Lukisan cadangan rekabentuk rumah secara ringkas

Salinan kad pengenalan pemohon
Pemilik tanah atau wakil yang diberi kuasa

Resit cukai tanah terkini
Bukti pembayaran cukai tanah (quit rent) tahun semasa



Dokumen Tambahan Permohonan Pelan Bangunan (BP)

Salinan kelulusan KM
Surat kelulusan Kebenaran Merancang yang sah

Set pelan bangunan lengkap
Ditandatangani Arkitek / Jurutera Awam berlesen

Pelan struktur & kira-kira jurutera
Disediakan oleh Jurutera Awam (C&S) berlesen

Pelan mekanikal & elektrikal (M&E)
Termasuk pelan paip dan sistem elektrik

Pelan sistem pembetungan
Termasuk pelan tangki septik atau sambungan IWK

Laporan soil investigation (SI)
Diperlukan untuk tapak tanah lembik atau kawasan berisiko

8 Tip Elak Pelan Bina Rumah Ditolak PBT

Berdasarkan pengalaman Mahligai Idaman membantu ramai pelanggan melalui proses kelulusan PBT, berikut adalah tip paling berkesan untuk memastikan pelan anda lulus pada percubaan pertama:

(1) Dapatkan garis panduan PBT setempat sebelum melukis pelan
Setiap PBT boleh mempunyai syarat tambahan melebihi UKBS 1984. Satu panggilan telefon atau lawatan ke kaunter PBT sebelum pelan dilukis boleh menjimatkan berbulan-bulan masa anda kemudian hari.

(2) Lantik arkitek yang biasa dengan PBT di kawasan anda
Arkitek yang sudah berpengalaman dengan sesebuah PBT tertentu tahu selok-belok syarat tempatan, cara mengemukakan permohonan dan cara menangani komen teknikal — ini mempercepatkan proses dengan ketara.

(3) Jangan pernah kompromi saiz bilik di bawah had minimum
Ini adalah punca penolakan nombor satu. Bilik tidur yang terlalu kecil demi membesarkan ruang tamu adalah pertukaran yang akan membuatkan pelan anda ditolak serta-merta oleh Jabatan Bangunan PBT.

(4) Semak dan ukur setback dengan tepat sebelum melukis
Pelan yang melanggar garisan setback akan ditolak tanpa mengira betapa cantik rekabentuknya. Dapatkan pelan akui ukur (certified survey plan) dari juruukur tanah berlesen untuk mendapatkan dimensi tapak yang tepat.

(5) Pastikan setiap bilik mempunyai bukaan cahaya yang mencukupi
Bilik yang gelap tanpa tingkap atau bukaan luar tidak akan lulus. Periksa bahawa setiap bilik tidur mempunyai bukaan sekurang-kurangnya 10% dari keluasan lantai bilik tersebut, ini adalah syarat UKBS yang sering diabaikan dalam pelan yang direka terlalu padat.

(6) Masukkan peruntukan parkir dalam pelan dari awal
Kebanyakan PBT memerlukan sekurang-kurangnya satu ruang parkir dalam kawasan tanah sendiri. Jika diabaikan dalam pelan asal, anda terpaksa mengubah suai keseluruhan layout lantai untuk memasukkannya iaitnya satu proses yang memakan masa dan kos.

(7) Kemukakan dokumen yang lengkap pada kali pertama
Permohonan yang tidak lengkap akan dikembalikan tanpa disemak — membuang masa berbulan-bulan. Gunakan senarai semak (checklist) dokumen PBT berkenaan dan pastikan setiap dokumen disertakan sebelum permohonan dikemukakan.

(8) Jangan buat sebarang perubahan pelan selepas kelulusan tanpa kebenaran
Sebarang perubahan daripada pelan yang diluluskan, walaupun kecil seperti mengubah kedudukan pintu atau menambah tingkap mesti mendapat kelulusan variation order dari PBT dahulu. Bina tanpa kelulusan ini boleh menyebabkan CCC tidak dapat dikeluarkan pada akhirnya.

Soalan Lazim (FAQ) Tentang Kelulusan PBT Bina Rumah

Bolehkah saya uruskan sendiri permohonan kelulusan PBT tanpa arkitek?
Tidak. Mengikut undang-undang Malaysia, pelan bangunan yang dikemukakan kepada PBT untuk kelulusan mesti ditandatangani oleh Arkitek Berlesen (berdaftar dengan LAM) atau Jurutera Awam Berlesen (berdaftar dengan BEM). Anda boleh uruskan aspek lain seperti menghantar dokumen, tetapi pelan itu sendiri mesti mendapat pengesahan profesional berlesen.

Berapa kos keseluruhan untuk dapatkan kelulusan PBT bina rumah?
Kos kelulusan PBT secara keseluruhan bergantung kepada saiz projek dan PBT berkenaan. Secara anggaran, anda boleh jangkakan perbelanjaan antara RM8,000 hingga RM25,000 yang merangkumi honorarium arkitek, fi jurutera, fi PBT, kos pelan akui ukur dan lain-lain caj profesional. Ini tidak termasuk kos sambungan utiliti.

Apa yang berlaku jika saya bina rumah sebelum mendapat kelulusan PBT?
Ini adalah risiko yang sangat serius. PBT boleh mengeluarkan notis berhenti kerja (stop work order), mengenakan denda, mahkamah boleh memerintahkan bangunan dirobohkan (pada kos pemilik), dan anda tidak akan dapat CCC — bermakna rumah tidak boleh dijual, tidak boleh mendapat pinjaman bank, dan susah untuk pindah milik hakmilik kepada waris.

Bolehkah kelulusan PBT dipercepat?
Sesetengah PBT menawarkan skim pemprosesan ekspres (jalur laju) untuk projek-projek kecil termasuk rumah kediaman — dengan bayaran tambahan. Selain itu, cara paling berkesan untuk mempercepatkan proses ialah memastikan permohonan adalah lengkap dari awal dan menggunakan arkitek yang sudah biasa dengan prosedur PBT berkenaan.

Apakah CCC dan bagaimana ia berbeza dari CF lama?
Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah menggantikan Sijil Kelayakan Menduduki (CF) sejak pindaan Akta 133 pada 2007. Perbezaan utama: CF dikeluarkan oleh PBT selepas pemeriksaan, manakala CCC dikeluarkan oleh arkitek atau jurutera yang menguruskan projek itu sendiri yang menjadikan prosesnya lebih pantas. Kedua-duanya berfungsi sebagai pengesahan bahawa bangunan selamat dan sah untuk diduduki.

Saya nak tambah bilik atau buat pengubahsuaian selepas rumah siap, perlukah kelulusan baru?
Ya, untuk kerja-kerja yang melibatkan perubahan struktur, penambahan keluasan lantai atau perubahan yang ketara kepada rekabentuk asal, kelulusan baru daripada PBT diperlukan. Kerja-kerja kecil seperti cat semula atau tukar jubin biasanya tidak memerlukan kelulusan. Jika anda tidak pasti, adalah lebih selamat untuk bertanya kepada PBT atau kontraktor anda terlebih dahulu. Untuk maklumat lanjut tentang pelan rumah yang sesuai, rujuk Panduan Pelan Rumah 3 Bilik.

Biarkan Kami Bina Rumah Impian Anda

Bina Rumah Impian Anda Tanpa Pening Kepala , Kami Uruskan Segalanya!

Nak bina rumah atas tanah sendiri tapi tak tahu nak mula? Serabut dengan proses dan kelulusan?

Serahkan kepada Mahligai Idaman Development Sdn Bhd. Pakar berpengalaman yang akan urus dari A sampai Z, dari reka bentuk, kelulusan PBT, hingga rumah siap dibina dengan sempurna.

✅ Proses mudah & cepat
✅ Kelulusan lebih lancar
✅ Pembinaan berkualiti & terjamin
✅ Anda hanya tunggu rumah siap!

Kami tahu apa yang diperlukan untuk pastikan projek anda berjalan tanpa masalah dan kami pastikan semuanya berjalan dengan lancar, selamat & profesional.

🔥 Semakan tapak & konsultasi adalah PERCUMA
🔥 Tiada komitmen — tanya dulu, baru buat keputusan

Jangan tangguh lagi — bina rumah impian anda sekarang dengan cara paling mudah!